NAJIB DISABOTAJ ISU AZIZ BARI?
Ahmad Lutfi Othman
Semasa
pemerintahan Najib Razak nampak terkial-kial menyusun program menagih
sokongan rakyat, banyak pula insiden menimpa yang makin menyukarnya untuk memulihkan imej BN bagi berdepan pilihan raya umum ke-13.Beberapa pengumuman transformasi politik, seperti janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada malam Hari Malaysia lalu, menjadi pudar apabila dalam masa sama ia disusuli tindakan-tindakan “keras, tidak demokratik, dan menutup ruang perbahasan secara sihat”.
Misalnya, Timbalan
Presiden PAS, Mohamad Sabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di
bawah Kanun Keseksaan kerana pandangannya berhubung peristiwa Bukit
Kepong pada tahun 1950, ketika berceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang
pada 21 Ogos lalu.
Apakah hanya kerana mempunyai pandangan berbeda tentang sejarah perjuangan kemerdekaan negara, maka mahkamah terpaksa dipilih untuk mengadili Mat Sabu, dan bukannya melalui perdebatan, perbahasan atau dialog?
Terkini, tambah membebankan Najib apabila pakar undang-undang perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari, digantung tugas dan dilarang memasuki kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disebabkan pandangan beliau terhadap isu yang berkaitan dengan bidangnya.
Gejala ini bukan perkara baru. Sebelum
ini ramai tenaga akademik menerima surat amaran daripada pentadbiran
universiti ekoran pandangan atau kenyataan akhbar yang dilihat
menimbulkan “kegemparan”, walaupun ia menyentuh bidang kepakaran atau hasil penyelidikan mereka.
Hanya
kerana isu jerubu melanda negara atau masalah sosial generasi muda,
yang ditimbulkan oleh pensyarah dalam bidang berkenaan, mereka boleh
mendapat “surat cinta” dan terpaksa “menutup mulut” kemudiannya. Ada
juga pensyarah sains politik yang ditegur kerana bercakap dengan pihak
akhbar mengenai tuntutan bertindih dengan negara jiran.
Justeru, golongan cendekiawan kita semakin bersendirian, tinggi di menara gading, terpisah dengan realiti masyarakat, ibarat “mati di pucuk”. Mereka seperti dilarang menyumbang idea dan menyalur pandangan bernas terhadap pergolakan atau konflik di persekitaran. Waduh … bukan saja malang berganda tetapi juga membazirkan wang rakyat.
Ternyata,
kebebasan akademik dan hak bersuara warga kampus dinafikan serta
dicabuli pentadbiran (baru) UIAM. Reaksinya, seperti diduga, merata dan
merebak dengan cepat. Suara simpati dan sokongan terhadap Aziz segera
tumpah di mana-mana, terutama di laman sosial, facebook.
Dalam waktu singkat, selepas sehari Aziz digantung tugas, aksi protes melalui demonstrasi berjaya digembleng, di UIAM sendiri. Anak-anak muda, mungkin sebahagiannya anak murid beliau, bingkas bangun bersuara lantang. Selama ini kampus Gombak itu tidak pernah mengizinkan kelompok mahasiwa pro-Umno menerajui gerakan pelajarnya.
Ia
juga difaktorkan oleh kewibawaan dan keberanian Aziz, yang diakui
ramai. Malah beliau pernah membidas keras Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan
Guru Abdul Hadi Awang sehingga mencetuskan polemik dalam parti. Suatu
bukti Aziz bersuara tanpa takut, tanpa segan.
Dalam
mempertahankan Abdul Aziz, Presiden Persatuan Kakitangan Akademik
Universiti Malaya (PKAUM) yang juga prof madya undang-undang, Dr Azmi
Sharom berkata, Akta Hasutan sendiri membenarkan kritikan membina
terhadap pemerintah.
Baginya,
Aziz semata-mata memberi pandangan bahawa seorang raja telah bertindak
di luar batasan perlembagaan. Menurut Azmi, ia adalah komen yang sah
dengan tiada kenyataan – secara langsung atau tersirat – yang dibuat
untuk menimbulkan kebencian terhadap raja.
Setiausaha
Agung Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Prof Madya Dr Rosli
Mahat turut melahirkan rasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi
yang dikenakan terhadap Aziz.
“Aziz
seorang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan
rasional dalam bidang kepakaran beliau. Mana-mana pihak yang tidak
bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya menghujah balas secara
rasional dan profesional tanpa sebarang ugutan atau celaan peribadi,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Dari Universiti Oxford, London, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengkritik keras: “Tindakan
ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang
berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad. Ia tindakan mengampu dan
paling tidak bertamadun dalam dunia akademik. UIA yang patut bertaraf
pusat pendidikan dunia bertukar menjadi pejabat agama yang penuh
kesempitan fikiran.”
Secara
peribadi Aziz mudah didekati, tidak lokek idea, dan sebagai pengamal
media, saya begitu senang sekali dengan minat mendalamnya terhadap dunia
penulisan dan penerbitan. Lebih 10 tahun lalu, semasa saya menerbitkan
majalah Detik, Wasilah dan siri akhbar tidak berkala di Medan Idaman,
tidak jauh daripada kampus UIAM Gombak, Aziz agak kerap mengunjungi
pejabat Penerbitan Pemuda.
Selain
bertukar-tukar fikiran dan cerita, Aziz cukup prihatin dengan mutu
bahan penerbitan kami. Lebih mengujakan, ziarah beliau bersama-sama
bahan yang kami boleh manfaatkan. Bukan sekadar kritikan membina, tetapi
juga tulisan yang boleh dikongsi pembaca.
Lama sebelum komentarnya terhadap Sultan Selangor, bicara Aziz menampakkan beliau benar-benar independen.
“Selepas Prof Jomo KS ke PBB, saya lihat satu-satunya tokoh pemberani
di kalangan ahli akademik adalah Prof Aziz Bari. Hairan ya, dia seperti
tidak takut langsung untuk bersuara,” kata seorang sahabat lama dari Skudai, Johor.
Saya
kira tekanan ke atas pentadbiran UIAM untuk mengambil tindakan ke atas
Aziz bukan semata-mata disebabkan kenyataan terakhirnya itu. “Dendam”
ini sudah lama meruap. Pihak tertentu hanya menunggu masa sesuai untuk
“memerangkapnya”.
Apa
pun, yang pasti, episod gelita ini bukan sahaja meninggalkan kesukaran
berpanjangan buat Najib tetapi telah menggagalkan usaha
tungkus-lumusnya membina imej baru BN menjelang PRU13. Tokoh sehebat Aziz tidak rugi apa-apa jika disingkirkan. Peluangnya terbuka luas di tempat lain.
“Soalnya,
apakah ini petanda jelas ada perancangan untuk sabotaj Najib daripada
dalam? Generasi muda dan masyarakat kelas menengah terkesan dengan isu
Aziz Bari ini,” kata seorang editor kanan, yang mengakui hairan dengan tindakan drastik UIAM itu.
No comments:
Post a Comment